Jan 20, 2026 - FASSelangor FC secara rasmi mengumumkan Hugo Adnan Boumous, pemain tengah serangan, menyertai keluarga Gergasi Merah dalam jendela perpindahan kedua musim 2025/26.
Lahir di Rennes, Perancis beliau memulakan kariernya bersama Stade Laval B dengan mencatat 51 penampilan dan menjaringkan 11 gol sebelum dinaikkan ke skuad utama Stade Lavallois, di mana beliau beraksi dalam Ligue 2 dan Coupe de France dengan tiga penampilan serta dua gol. Beliau kemudiannya berhijrah ke Maghribi untuk menyertai Moghreb Tétouan dan mencatat 31 penampilan dengan empat bantuan gol
Nama Hugo mula mencuri perhatian di Liga Super India (ISL) dengan prestasi cemerlangnya bersama beberapa buah kelab.
Beliau telah dinobatkan sebagai pemain terbaik liga dengan menerima anugerah ISL Golden Ball musim 2019/2020 selepas mencatat 47 penampilan, 20 gol, dan 19 assist bersama FC Goa. Beliau kemudian menyertai Mumbai City FC, menyumbang enam gol dan sepuluh assist dalam 16 perlawanan. Kemudian meneruskan kejayaan bersama Mohun Bagan SG, dengan mencatat 70 penampilan, 14 gol, 19 bantuan gol, sekali gus membantu kelab meraih beberapa kejuaraan domestik termasuk dua ISL League Shield, dua gelaran Juara Playoff ISL, Durand Cup dan Super Cup.
Tahun seterusnya, Hugo menyertai Odisha FC, terus konsisten memainkan peranan penting sebagai arkitek serangan pasukan dengan menjaringkan enam gol dan tujuh assist dalam 22 perlawanan. Dari FC Goa hingga Odisha FC, beliau mengekalkan reputasinya sebagai playmaker yang kreatif dan berpengaruh di Liga Super India.
Secara keseluruhan, menurut transfermarkt.com, Hugo telah merekodkan 240 penampilan, 56 gol dan 58 assist sepanjang karier profesionalnya. Selain itu, keupayaan beliau mengawal tempo permainan, mencipta peluang serta membuat keputusan tepat dalam situasi penting menjadikannya seorang pemain yang bakal melengkapkan barisan pemain tengah Gergasi Merah.
Hugo memilih Selangor FC kerana beliau merasakan kelab ini mempunyai cita-cita yang besar dan mahu menjadi sebahagian daripadanya, “Bagi saya, Selangor FC merupakan sebuah kelab yang hebat, dan mempunyai penyokong yang penuh semangat di Malaysia, itu cukup meyakinkan saya untuk ke sini sejak dari awal lagi. Selain itu, rakan sepasukan di sini juga merupakan pemain-pemain yang berkualiti dengan barisan jurulatih yang terbaik. Daripada situ, saya dapat merasakan kelab ini mempunyai cita-cita yang besar, jadi saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ini.”
Beliau juga menjanjikan yang terbaik untuk para penyokong Gergasi Merah, “Kita masih bersaing dalam liga dan beberapa kejohanan, jadi sasaran kita adalah untuk menamatkan musim dengan kedudukan terbaik. Saya akan berikan segalanya kepada kelab untuk membantu pasukan. Saya sangat teruja untuk bertemu dengan para penyokong serta melihat anda di stadium tidak lama lagi.”
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Hugo Boumous. Semoga kehadiran beliau dapat menambah kekuatan barisan tengah Gergasi Merah untuk baki Liga Malaysia dan saingan ACC Shopee Cup 2025/26. Selamat datang, Hugo!
Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2025/26.
Demi Kebanggaan!